jump to navigation

LAMPIRAN 1 (B) August 31, 2007

Posted by Mahdi in Lampiran.
trackback

Bab II : Tiga Puluh Sembilan Buah Keterangan Daripada Para Sahabat RA

1. Bencana yang Terjadi Sebelum Al-Mahdi

“Sebelum muncul Al-Mahdi, ada bencana yang membinasakan umat manusia. Kamu semua jangan mencela penduduk Syam, kerana merekalah yang menerima bencana tersebut. Demikian (berlaku) kerana para wali abdal adalah lahir daripada mereka. Bencana tersebut antaranya berupa hujan lebat yang menenggelamkan manusia, sehingga andainya mereka berhadapan dengan segerombolan musang sahaja, nescaya mereka akan dikalahkan. Setelah itu Allah memunculkan Al-Mahdi yang berada di tengah-tengah pasukan yang minimumnya berjumlah 12,000 orang atau maksimumnya 15,000 orang.”

2. Berarak Menuju Al-Mahdi

“Al-Mahdi tidak akan muncul sebelum seorang nafsuz zakiyah terbunuh. Apabila nafsuz zakiyah ini terbunuh, maka penduduk langit dan bumi menjadi marah. Kemudian manusia mendatangi Al-Mahdi dengan berjalan pantas seperti cepatnya jalan pengantin lelaki menuju pengantin perempuan.”

3. Menghalalkan yang Haram

“Al-Mahdi tidak akan muncul sebelum terjadinya suatu masa semua perkara yang haram dianggap halal. Kemudian dia diserahkan jawatan khalifah, yang pada ketika itu dia sedang berada di dalam rumahnya dan dia adalah sebaik-baik penduduk bumi.”

4. Tanda-tanda Kemunculannya

“Tanda-tanda kemunculan Al-Mahdi adalah terjadinya sekumpulan tentera yang ditelan oleh bumi di Al-Baidak.”

5. Keluar Askar Al-Mahdi

“Al-Mahdi berserta askarnya akan muncul dari Timur. Seandainya gunung menjadi penghalang, nescaya gunung itu akan dihancurkan sehingga rata menjadi jalan.”

6. Sebahagia-bahagia Umat Pada Zaman Al-Mahdi

“Sebahagia-bahagia umat pada zaman Al-Mahdi adalah bangsa Kufah.”

7. Beberapa Tanda Bagi Al-Mahdi

“Tanda-tanda kemunculan Al-Mahdi adalah jika harta pusaka melimpah, pemimpin-pemimpin yang mengumpulkan harta telah mati, setelah itu digantikan oleh seorang lelaki yang lemah yang kemudian dipecat semula setelah dua tahun diangkat, ada sekumpulan tentera yang ditelan oleh bumi di barat Damsyik, munculnya tiga belas orang tokoh di Syam, keluar penduduk Barat ke Mesir, yang semuanya ini berlaku pada zaman pemerintahan As-Sufyani.”

8. Suara Hatif

“Apabila ada seruan dari langit, “Sesungguhnya kebenaran berada di pangkuan Keluarga Nabi Muhammad SAW,” maka pada ketika itu Al-Mahdi mulai gempar diperkatakan orang. Lantas umat manusia beransur-ansur mencintai Al-Mahdi. Seterusnya tidak ada orang lain lagi yang disebut-sebut oleh mereka melainkan Al-Mahdi.”

9. Muncul Panji-panji Hitam Menyerang As-Sufyani

“Panji-panji Hitam keluar lalu menyerang As-Sufyani. Di tengah-tengah pasukan itu ada Pemuda Bani Hasyim yang di tangan kirinya berkiba bendera pasukan itu, manakala di hadapannya adalah Syuaib bin Saleh at-Tamimi.”

10. Angkatan Laut As-Sufyani

“Sebelum muncul Al-Mahdi, pasukan berkuda As-Sufyani menyerang Kufah dan penduduk Khurasan keluar mencari Al-Mahdi. Kemudian penduduk Khurasan bertemu dengan pasukan Al-Hasyimi di tengah-tengah Panji-panji Hitam yang dipimpin oleh Syuaib bin Saleh. Penduduk Khurasan lantas bertemu dengan pasukan As-Sufyani di kawasan yag berbatu, dan terus berlaku pertempuran sengit. Dalam pertempuran itu, yang terhebat adalah pasukan Panji-panji Hitam, manakalaa pasukan As-Sufyani melarikan diri. Pada ketika itu umat manusia amat berharap dapat menemui Al-Mahdi dan terus mencarinya.”

11. Keluar Seorang Lelaki Daripada Keluarga Nabi SAW

“Sebelum Al-Mahdi, ada seorang lelaki dari kalangan Ahlulbait keluar di Timur, seraya menyandang pedang di atas bahunya selama lapan belas tahun. Dia membunuh, mengamuk dan menuju ke Baitulmaqdis. Namun dia mati sebelum sempat sampai ke sana.”

12. Madinah Hancur Binasa

“Sebelum Al-Mahdi, di Madinah terjadi pertempuran yang mengakibatkan hancurnya Madinah. Darah yang mengalir daripadanya sampai di kawasan Ahjaruz Zait dan Ma al-Hirrah. Bandar tersebut terletak lebih kurang 44 batu dari Madinah. Kemudian Al-Mahdi dibaiat.”

13. Tenggelamnya Tentera di Al-Baidak

“Penguasa Madinah mengirimkan tentera kepada Al-Hasyimi di Makkah. Tentera ini kemudian mengusir penduduk Makkah. Peristiwa ini didengar oleh khalifah di Syam, iaitu As-Sufyani daripada keturunan Abu Sufian bin Harb. Seterusnya As-Sufyani mengirimkan pasukan ke Makkah. Dalam perjalanan itu, mereka singgah di Al-Baidak yang pada waktu itu kebetulan bulan penuh. Kemudian ada seorang penyeru yang memerhatikan (ketibaan) pasukan itu berkata, “Aduh, celakalah kamu semua penduduk Makkah kerana kedatangan pasukan ini.” Dia terus pergi dan datang lagi ke tempat itu. Tetapi dia tidak nampak lagi pasukan tadi. Dia lantas bertasbih, “Subhanallah, mereka telah berangkat sebentar tadi.” Lalu dia meneruskan perjalanannya. Di sana dia menemui pasukan tadi dalam keadaan tertimbus separuh badan. Dia bercadang mahu membantu tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Akhirnya dia meklum bahawa pasukan tadi telah ditelan oleh bumi. Dia bergegas masuk ke Makkah untuk menyampaikan berita tersebut. Mendengar berita ini, penduduk Makkah mengucapkan alhamdulillah, kemudian berkata, “Inilah tanda yang kita tunggu-tunggu.” Lantas mereka pergi menuju ke Syam.”

14. Pelaksanaan Pembaiatan Al-Mahdi

“Sebelum Al-Mahdi muncul, perdagangan-perdagangan akan terhenti, jalan-jalan terputus dan banyak berlaku bencana. Setelah itu ada tujuh buah panji-panji daripada tujuh buah pasukan, secara kebetulan sama-sama mencari Al-Mahdi. Dari setiap kelompok itu ada sekitar 33 – 39 orang yang berjanji untuk menemukan Al-Mahdi. Mereka dan pasukan terus mencari dan akhirnya menjumpai Al-Mahdi di Makkah. Sebahagian daripada mereka ada yang bertanya kepada yang lain, “Apa perlunya kita datang ke sini?” Sebahagian yang lain menjawab, “Kita datang untuk mencari orang yang layak diserahkan tugas untuk mengakhiri bencana-bencana ini dan yang akan menakluk Kostantinopel.” Sambung mereka, “Kami telah mengetahui namanya, nama ayah dan nama ibunya serta pasukan perangnya.” Mereka terus mencari dan akhirnya bertemu di Makkah. Mereka menegur, “Engkau adalah si fulan bin si fulan.” Tetapi Al-Mahdi menafikannya dan lari ke Madinah. Kemudian dia balik semula ke Makkah, yang pada masa itu mereka sedang berkeliaran di sekeliling Hajar Aswad. Lalu pasukan­pasukan itu berkata, “Dosa-dosa kami berada di tanganmu, jiwa kamu berada di pundakmu, maka hulurkanlah tanganmu untuk kami baiat sebab tentera As-Sufyani sudah kelihatan menuju ke sini untuk menyembelih kami.” Seorang lelaki dari Tanah Suci tadi lantas duduk di antara Hajar Aswad dan Maqam Ibrahim lalu menghulurkan tangannya dn terus dibaiat. Di sinilah Allah mempertemukan kekasih-Nya dengan umat manusia yang kemudian mereka berjalan bersama-sama. Mereka ini amat berani pada waktu siang dan amat ditakuti pada waktu malam.”

15. Munculnya Al-Hasyimi Sebelum Al-Mahdi

“Sebelum Al-Mahdi, Al-Hasyimi keluar untuk berperang selama 18 bulan. Dia akan menuju Baitulmaqdis tetapi tidak sampai ke sana. Serentak dengan itu, As-Sufyani mengirimkan pasukannya untuk menyerang Al-Mahdi tetapi mereka ditelan oleh bumi di Al-Baidak. Peristiwa ini sampai kepada penduduk Syam. Mereka kemudian berkata kepada khalifahnya, “Berbaiatlah engkau kepada Al-Mahdi. Jika tidak maka kamu akan kami bunuh!” Kemudian khalifah ini memberikan baiatnya kepada Al-Mahdi. Al-Mahdi lantas berjalan hingga sampai ke Baitulmaqdis. Maka bangsa Arab, Ajam, pasukan-pasukan perang, bangsa Rom dan lain-lain menyerah kepada Al-Mahdi tanpa peperangan. Kemudian masjid-masjid dibangunkan di Kostantinopel dan di tempat-tempat lain.”

16. Tempat Lahirnya

“Al-Mahdi lahir di Madinah.”

17. Tempat Hijrahnya

“Tempat hijrahnya adalah Baitulmaqdis.”

18. Janggut Al-Mahdi

“Dia berjanggut tebal tetapi tidak begitu lebat.”

19. Kedua-dua Belah Matanya

“Kedua-dua pelupuk matanya kelihatan bercelak.”

20. Gigi Seri Al-Mahdi

“Gigi seri Al-Mahdi kelihatan bersinar.”

21. Wajah Al-Mahdi

“Pipi Al-Mahdi ada bertahi lalat.”

22. Tanda Pada Bahu Al-Mahdi

“Pada bahu Al-Mahdi terdapat cap kenabian Nabi Muhammad SAW.”

23. Bendera Nabi Muhammad SAW

“Al-Mahdi akan keluar dengan membawa bendera seperti bendera Nabi SAW, iaitu tidak berjahit, berwarna hitam dan lebar yang tidak berkibar lagi sejak kewafatan Nabi SW sehinggalah muncul Al-Mahdi.”

24. Dikawal Malaikat

“Allah menugaskan malaikat sebanyak tiga ribu untuk mengawal Al-Mahdi seraya memukul orang-orang yang memusuhi dan menentang Al-Mahdi.”

25. Usia Pelantikan Al-Mahdi

“Al-Mahdi diutus ketika dia berumur antara 30 hingga 40 tahun.”

26. Kulit Al-Mahdi

“Kulit Al-Mahdi berwarna coklat (sawo matang).”

27. Seorang yang Bernama Al-Hasyimi

“Al-Hasyimi menyerahkan kekhalifahan kepada Isa bin Maryam AS.”

28. Bencana yang Terjadi Sebelum Al-Mahdi

“Sebelum Al-Mahdi, terjadi banyak bencana. Kemudian sekumpulan orang berkumpul di hadapan seorang lelaki keturunan Ali KMW, yang mana lelaki ini pada sisi Allah dinyatakan tidak mempunyai dosa. Dia akan membunuh atau terbunuh. Kemudian Al-Mahdi pun muncul.”

29. Pelaksanaan Pembaiatan Al-Mahdi

“Orang ramai pergi menunaikan haji, mereka berwukuf di Arafah tanpa seorang imam pun, lantas di Mina berlaku pemberontakan dan mereka dibunuh beramai-ramai di sana sehingga darah-darahna mengalir dari (Jamrah) Aqabah. Mereka lantas meminta pertolongan kepada seorang yang mulia. Mereka mendatanginya yang pada waktu itu sedang menyandarkan mukanya ke Kaabah sambil menangis. Mereka lantas berkata, “Ke marilah supaya kami membaiatmu.” Dia menjawab, “Celaka kamu semua ini, berapa banyak perjanjian yang telah kamu mungkiri dan berapa banyak darah yang telah kamu tumpahkan.” Kemudian dengan secara terpaksa dia dibaiat. Jika kamu semua menemuinya, maka berbaiatlah. Sesungguhnya dia adalah Al-Mahdi di bumi dan Al-Mahdi di langit.”

30. Bilangan Pasukan Badar

“Al-Mahdi melangkah menuju sejumlah pasukan Badar daripada penduduk Syam. Oleh penduduk Syam itu, dia dibawa keluar dari kota Makkah, iaitu dari sebuah rumah dekat Safa, kemudian dengan terpaksa dia dibaiat. Kemudian mereka bersembahyang dua rakaat berjemaah di sisi Maqam Ibrahim, lalu dia naik ke atas mimbar untuk berkhutbah.”

31. Tempat Membaiatnya

“Al-Mahdi dibaiat di antara Hajar Aswad dengan Maqam Ibrahim, yang mana pelaksanaannya tidak sampai membangkitkan orang yang sedang tidur dan tidak pula sampai menunpahkan darah.”

32. Tempat Keluarnya

“Al-Mahdi akan keluar dari Makkah dengan membawa bendera Rasulullah SAW.”

33. Al-Mahdi dan Harta yang Diperoleh Daripada Baitullah

“Al-Mahdi akan membahagi-bahagikan senjata dan harta yang diperolehnya daripada Baitullah untuk jihad fi sabilillah. Rasulullah SAW menjelaskan kepada Umar RA tentang Al-Mahdi, “Aku tidak tahu apakah aku akan menyimpan harta dan senjata tadi atau akan membahagi-bahagikannya.”

“Tinggalkanlah bangsa Habsyi apabila mereka meninggalkan kamu kerana sesungguhnya harta simpanan Kaabah itu tidak akan dapat dikeluarkan melainkan dengan dua kekuatan.”

34. Masa Pemerintahannya

“Al-Mahdi akan memerintah selama 30 atau 40 tahun.”

35. Galian Bumi

“Pada zaman Al-Mahdi, bumi akan mengeluarkan galian-galiannya yng berharga seperti gumpalan­gumpalan emas dan perak.”

36. Lagi Tanda-tanda Al-Mahdi

“Ada suatu tanda yang dituntut daripada Al-Mahdi. Lantas dia memberi isyarat kepada burung, maka burung itu hinggap di atas tangannya. Kemudian Al-Mahdi memacakkan tongkatnya, lantas tongkat itu menghijau dan berdaun.”

37. Menakluki Benteng Rom

“Seluruh pertahanan Rom dan bandar-bandarnya akan ditawan oleh Al-Mahdi dengan mengumandangkan tahlil dan takbir.”

38. Tersebar Perdamaian di Hampir Seluruh Dunia

“Pada zaman Al-Mahdi nanti, kambing dan serigala digembala sekali, kanak-kanak bermain dengan ular dan kala jengking, yang mana ular dan kala jengking ini tidak membahayakan sama sekali. Manusia akan menanam satu mud benih dan akan memetik 700 mud buahnya. Riba, perzinaan dan minuman keras hapus terus. Umat manusia berumur panjang, amanah-amanah ditunaikan, hal-hal yang keji lenyap dan orang-orang yang bencikan keluarga Nabi SAW habis binasa.”

39. Menghapuskan Bidaah dan Menegakkan Sunnah

“Pada zaman Al-Mahdi nanti, tidak ada lagi bidaah melainkan dihapuskan dan tidak akan ada sunnah melainkan ditegakkan. Dia akan menundukkan Kostantinopel, China dan Jabal ad-Dailam. Dia akan menguasai kawasan tadi selama tujuh tahun, yang mana satu tahun pada waktu itu nanti sama panjang dengan dua puluh tahun pada waktu sekarang. Kemudian Allah akan melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki.”

Comments»

No comments yet — be the first.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: